Ubat untuk Hati

Assalamualaikum and greetings to all 🙂

Selawat dan salam ke atas junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tabi’-tabi’in, dan semoga Allah melimpahkan rahmat kepada mereka yang tetap teguh di jalan tarbiyah.

In sha’a Allah. Mudah- Mudahan.

Kalau memandu, kaki, tangan, mata, dan otak bergerak. Semua perkara perlu diteliti. Cuba bayangkan salah satu tidak bergerak dengan pantas? Kereta akan masuk ke longkang. Perkara lain yang membantu pemandu adalah sensor kereta itu. Terutama ketika parking. Peranannya untuk membantu pemandu daripada terlanggar tiang di belakang atau kereta berdekatan. Berguna kan?

Memandulah dengan iman

Begitu juga kita dalam kehidupan, dalam melakukan satu-satu pekerjaan, semua anggota tubuh badan kita bergerak. Mata untuk melihat, kaki untuk berjalan, tangan untuk melakukan kerja dan akal untuk berfikir. Dan apa yang menjadi sensor untuk diri kita berjalan di dalam kehidupan kita dunia ini? Hati. Ya, hati.

Hati berperanan sebagai sensor untuk memandu kita melakukan tindakan yang memberikan kesan yang baik atau buruk pada diri kita. Tapi, malangnya kita seringkali mengambil remeh dan tak menjaga hati kita. Hati ibarat satu bekas. Jika bekas itu di jaga dengan baik, maka kita akan nampak lutsinar tanpa perlu teliti bekas tu, malah, terlihat cantik, dan berkilat. Sebaliknya, jika bekas itu tidak di jaga, berhabuk dan kotor, maka dari luar terlihat tidak menarik dan mungkin sahaja kita tak perasan, ‘Eh, ada bekas ke kat situ?’.

Pentingkan hati ini?

Ya,sangat penting. Jika kita tak menjaga ‘sensor’ ini, maka kita akan menjadi seperti kereta yang masuk dalam longkang!

Jadi, seharusnya, menjaga hati itu sama penting seperti mana kita menjaga penampilan luaran kita, seperti mana di awal pagi kita akan gosok gigi, mandi, cuci muka dan memilih pakaian yang terbaik untuk dipakai. Begitu juga dalam penjagaan hati, kita hidupkan dengan membaca AlQuran, membersihkannya dengan istighfar, mencucinya dengan air mata taubat dan membuat ibadah terbaik untuk hati kita.

Hati aku berfungsi lagi tak?

Banyak perkara yang boleh di lihat untuk mengetahui kondisi hati kita saat ini. Tapi di sini, di lampirkan kata-kata dari Hassan Al-Basri untuk renungan.

 ‘Carilah kemanisan iman di tiga tempat. Ketika solat, ketika berzikir dan ketika membaca Al-Quran. Jika anda mendapat kemanisan iman di tempat tersebut, maka hati anda terbuka. Kalau tidak, maka ketahuilah bahawa pintu hati telah tertutup.’

Cukup sekadar diri kita untuk menilai.

Alhamdulillah jika kita merasakan kemanisan iman di salah satu tempat. Jika tidak, apa yang harus kita buat?

Cari puncanya.

Apa yang membuat hati kita mati. Jujurlah kali ini pada diri sendiri, cermati sehari-hari kita, dari bangun pagi sampai ke tempat tidur. Teliti diri balik. Muhasabah balik agar tidak termasuk dalam longkang. Erk.

Daripada Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam, lalu baginda bersabda : Apakah engkau datang untuk bertanyakan tentang kebaikan ?, Saya menjwab : Benar!. Baginda bersabda : Mintalah fatwa kepada kamu sendiri. Kebaikan adalah apa-apa yang mententeramkan jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa-apa yang mengusik jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa yang membenarkanmu.

(Riwayat Ahmad no. 18006 dan al-Darimi (2/249).

Pernahkah kita melihat orang yang meniru waktu peperiksaan itu tenang? Pernahkah kita melihat orang yang mencuri itu tenang ketika mencuri? Pernahkah kita melihat orang yang membunuh itu tenteram hidupnya? Tidak bukan.

Kerana apa? Kerana kebaikan itu perilaku yang akan menenteramkan jiwa dan hati, kerana mengingati Tuhan itu membuatkan hati menjadi tenang, sedangkan dosa dan maksiat membuat hati jadi ragu, dan tidak tenang. Dan dalam AlQuran ada menyebutkan,

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”{13:28}

Jika kita merasakan tidak ada apa-apa, maka itu sangat bahaya. Kerana kita sudah menjadi pemaksiat sejati, teman sehidup semati syaitan. ‘U jump ,I jump, We jump together!’ kata syaitan. Allahu. Semoga dijauhkan.

“Tapi, dah terbiasa lah”

Jika kita terbiasa melakukan maksiat dan meninggalkannya dengan melakukan ketaatan dan kebaikan, jiwanya menjadi risau, dadanya menjadi sempit, dan semangat hidupnya menjadi kurang sehingga akhirnya terbiasa kerana membiasakan  diri dengan ketaatan. Banyak pelaku yang melakukan maksiat tanpa merasakan nikmat kerana melakukannya sekadar rasa yang tidak enak pada hati jika meninggalkan maksiat.

Ketika seorang hamba terus melakukan ketaatan, dia menjadi terbiasa dan menyukainya sehingga Allah mengirimkan malaikat yang membangunkannya untuk melakukan kebaikan. Sebaliknya, ketika seorang terus terbiasa melakukan maksiat, syaitan akan dikirimkan kepadanya dan akan terus membimbingnya kepada kemaksiatan. Malaikat adalah pembantu dan kekuatan untuk melakukan kebaikan, sebaliknya, syaitan adalah pembantu dan kekuatan untuk melakukan kejahatan.

Kita kata syaitan itu musuh kita. Tapi, tindakan kita? Allahu.

Perkara-perkara yang membersihkan hati

Pekara seperti solat malam ketika manusia tidur, membaca Al-Quran dan mentadabburnya, memanjangkan rukuk dan sujud boleh menghilangkan selaput-selaput penutup dalam hati dan akan membuka jalan yang terhalang antara dia dengan Pencipta. Maka terjalinlah hubungan, kedekatan dan ikatan.

Qiyamullail dengan membaca Al-Quran akan memberi kesan yang sangat besar terhadap hati. Sepertimana pada zaman sahabat dahulu, bilamana perintah untuk mengharamkan arak diturunkan, seketika itu juga jalan-jalan Madinah banjir. Para sahabat segera mencurahkan semua arak-arak dari bekas air mereka. Mereka belajar AlQuran untuk segera diamalkan dan mengembalikan kehidupan mereka sesuai dengan perintah-perintahNya.

Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, “Jika seorang diantara kita belajar sepuluh ayat, maka dia tidak akan menambahnya sampai dia faham maknanya lalu mengamalkannya.” Mencurahkan arak adalah satu perintah yang sangat berat. Tambahan pula, arak adalah perkara yang sudah sebati dalam masyarakat arab jahiliyah. Kerana apa mereka berjaya taat pada perintah Allah s.w.t.?

AlQuran merakamkan:

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan. {73:6}

Jadi, memperbaiki kekuatan hati kepada Allah dan menanamkan keimanan di dalamnya adalah suatu permulaan yang menjadi pendorong terhadap semua amalan. Ketika hati telah menjadi baik dan kehidupan mulai merangkak, jasad akan ikut serta menjadi baik tanpa ada rasa keberatan.

Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyu’ mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik. {57:16}

Inilah caranya. Maka, belum tibakah masanya untuk kita ambil ubat ini?

Ubat untuk hati.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s